Presiden PAS Lancar D’ Green Shoppe & Cafe


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyokong penuh usaha Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memperkasakan bidang ekonomi dengan membuka ‘One Stop Halal Hub’ yang menjual pelbagai produk keluaran Muslim, D’ Green Shoppe & Cafe.

Abdul Hadi dalam ucapan perasmian kedai serbaneka berkenaan di tingkat bawah Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, dekat sini semalam berharap agar DMPP memanfaatkan perniagaan yang diusahakan itu, bukan sahaja untuk menjana pendapatan tetapi juga menjadikannya sebagai medan memperkenalkan konsep perniagaaan Islam kepada pelanggan.

(Gambar: Abdul Hadi menjadi pembeli pertama di kedai itu)

“PAS tidak keberatan untuk beri laluan kepada Dewan Muslimat untuk membuka kedai ini di ruang Pejabat Agung ini kerana saya melihat ia satu usaha yang bagus.

“Saya amat berharap agar kedai yang dibuka ini bukan sahaja untuk urusan jual beli barang tetapi dapat menjadi medan untuk kita membawa mesej dakwah melalui akhlak dan peranan dalam muamala,” katanya.

Beliau juga berkata, telah tercatat dalam sejarah bahawa bidang ekonomi merupakan satu cabang dakwah yang besar yang telah menyebarkan Islam di rantau ini.

“Bidang perniagaan bukan sahaja merupakan cabang rezeki yang terbesar tetapi juga pembawa dakwah yang terbesar.Kalau kita melihat sejarah dahulu, bidang ekonomi telah menyebarkan Islam dengan luas di rantau ini.

“Oleh itu, di samping menarik pelanggan untuk membeli produk yang dijual di sini, muslimat juga berperanan menarik masyarakat di luar supaya tertarik dengan Islam yang merupakan perjuangan utama kita,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Salleh dalam ucapannya menyifatkan peluang yang diberikan oleh pimpinan tertinggi parti untuk mereka memulakan perniagaan itu sebagai satu suntikan semangat kepada mereka untuk mengorak langkah dalam menjana ekonomi parti.

“Kalau Dewan Pemuda terkenal dengan pengurusan PASTInya, Dewan Ulama’ terkenal dengan institusi pendidikan pondoknya, Dewan Muslimat pula ingin mengikut jejak langkah isteri Rasululullah S.A.W, Siti Khadijah yang berjaya dalam bidang ekonomi.

“Saya bagi pihak Dewan Muslimat mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden dan pimpinan PAS yang lain kerana memberi keprcayaan kepada kami untuk memulakan perniagaan ini. Saya berharap semua pihak berdoa agar usaha kami ini mencapai kejayaaan dan memberikan imej yang baik kepada parti,” katanya.

D’ Green Shoppe & Cafe dibuka oleh DMPP melalui Lajnah Ekonominya dengan modal sebanyak RM30,000 dan akan beroperasi tujuh hari seminggu dari jam lapan pagi hingga 10 malam.

(Gambar: MB Kedah, Azizan juga turut membeli belah di situ)
Kedai serbaneka berkonsepkan ‘layan diri’ ini menjual pelbagai produk keluaran Muslim terdiri daripada makanan dan minuman seperti roti, kek, kerepek, jus buah-buahan dalam botol dan tin, makanan sejuk beku, produk kesihatan dan juga buku-buku ilmiah selain busana muslimah.

Selain itu, kedai berkenaan turut menyediakan menu makan pagi, tengahari dan malam yang disediakan oleh tiga tukang masak tetap.

Menurut Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Kewangan DMPP, Khadijah Mahmud, perniagaan ini juga merupakan salah satu cara untuk membantu golongan ibu tunggal dalam PAS yang ingin menambahkan pendapatan.

“Kedai ini juga salah satu cara untiuk kami membantu golongan ibu tunggal sebab mereka boleh menghantar kuih atau barang makanan yang mereka buat di sini.Kami menerima produk dari sesiapa sahaja yang ingin berkerjasama dengan kami asalkan ianya halal dan mengikut cara Islam,” ujarnya.

Majlis perasmian kedai itu semalam turut dimeriahkan dengan kehadiran pimpinan tertinggi parti yang lain iaitu Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali, Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan, dan beberapa Ahli Jawatankuasa parti iaitu Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Dr. Hasan Ali, Dr. Siti Mariah Mahmud, Wan Ubaidah Wan Omar dan lain-lain lagi.

Abdul Hadi turut mengambil kesempatan semalam meninjau produk-produk yang dijual. Beliau juga menjadi orang pertama yang membeli produk di kedai serbaneka itu.

Turut berbuat demikian, Uztaz Azizan, Ustaz Nasrudin dan Dr. Siti Mariah.

Para hadirin yang hadir turut dijamu dengan makan tengahari.

Kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi pembekal atau menghantar produk mereka ke D’ Green Shoppe & Cafe boleh menghubungi pengurusnya, Wan Syamsiah di talian 019-947 6844.

Leave a comment

Filed under Artikel Pilihan, PAS, Produk & Kedai Muslim

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s